DAIM DAN KELUARGA MOHON PERINTAH SUPAYA SPRM BATALKAN BEKU AKAUN

11/06/2024 02:58 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dan keluarga memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membatalkan pembekuan akaun bank mereka.

Permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 6 Jun lepas dan akan didengar esok di hadapan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Mereka memohon perintah untuk membatalkan tindakan SPRM menyita harta alih itu yang dikenakan mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Selain Daim, turut dinamakan sebagai pemohon ialah isterinya, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid dan empat anak mereka iaitu Asnida, Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin.

Sebanyak 18 syarikat juga dinamakan sebagai pemohon iaitu Aad Equity Sdn Bhd, Yayasan Haji Zainuddin, Ilham Baru Sdn Bhd, Anchor Point Sdn Bhd, Kangkung Catering Sdn Bhd, Adrihaniz Sdn Bhd, Syarikat Maluri Sdn Bhd, Amiraz Sdn Bhd, Ridana Sdn Bhd, Daan Sdn Bhd, Maya Seni Holdings Sdn Bhd, Magical Zone Sdn Bhd, Permatang Maju (M) Sdn Bhd, Brainstorms Sdn Bhd, Arida Farms Sdn Bhd, Gajah3 Resource Centre Sdn Bhd, Ilham Tower Sdn Bhd dan Selidik Jaya Sdn Bhd.

Semua pemohon menamakan Penolong Penguasa Sektor Sasaran Operasi Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLFOP) SPRM Haris Fadhila Sukaime, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, SPRM, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Malaysia, sebagai responden pertama hingga keenam.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa tindakan penyitaan harta alih yang dikenakan SPRM mengikut Seksyen 50 AMLATFPUAA dan semua tindakan serta keputusan diambil responden pertama hingga keempat adalah tidak sah dan terbatal.

Ia adalah kerana menurut pemohon, tindakan itu melanggar hak perlembagaan mereka, menyalahi undang-undang, dibuat dengan berniat jahat (mala fide) dan penyalahgunaan proses undang-undang serta kuasa oleh responden pertama hingga keempat.

Mereka turut memohon satu perintah supaya ganti rugi dan kos untuk ditaksirkan menurut Seksyen 44 (6) AMLATFPUAA, ganti rugi am dan teladan, kos serta perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Sementara itu, Na’imah melalui afidavit sokongan bagi menyokong permohonan itu berkata mereka sekeluarga terjejas berikutan tindakan SPRM menyita akaun terbabit.

Dakwa Na'imah, keputusan dan tindakan itu disengajakan untuk menyasarkan beliau dan keluarganya, dengan mendakwa mereka sekeluarga korup dan membuat kekayaan dengan cara yang salah di sisi undang-undang.

Katanya, beliau dinasihati oleh peguam dan percaya bahawa segala keputusan serta tindakan SPRM adalah bagi tujuan sampingan politik semata-mata dan mereka (keluarga) tidak didakwa di mahkamah atas kesalahan berkaitan AMLATFPUAA.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan