HAKIM TARIK DIRI, RAYUAN PEKEBUN DURIAN MUSANG KING DIDENGAR 19 JULAI

21/06/2024 06:49 PM

PUTRAJAYA, 21 Jun (Bernama) -- Mahkamah Rayuan telah menjadualkan semula pendengaran permohonan 131 pekebun durian Musang King dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) bagi mengubah perintah hakim berkaitan penyelenggaraan dusun buah-buahan itu sementara menunggu pelupusan rayuan mereka terhadap arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Ini selepas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Wong Kian Kheong, yang bersidang bersama-sama dua hakim lain, menarik diri kerana mempunyai hubungan dengan seorang daripada peguam pihak yang terlibat dalam kes itu.

Meskipun tiada pihak membantah kehadiran beliau dalam panel yang mendengar kes itu namun demi kepentingan ketelusan dan integriti prosiding berkenaan, Wong memutuskan untuk menarik diri.

Terdahulu, peguam Brendan Navin Siva yang mewakili pekebun terbabit, Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang Datuk Saiful Edris Zainuddin yang mewakili kerajaan negeri, peguam Mohd Najid Hussain bagi pihak PKPP serta Tan Sri Cecil Abraham bagi Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd memaklumkan mahkamah bahawa mereka tidak mempunyai bantahan terhadap Wong untuk mendengar kes itu.

Datuk Supang Lian, yang mengetuai panel tiga hakim bagi mendengar kes itu, berkata susulan penarikan diri Wong, pendengaran hari ini terpaksa dikosongkan. 

Beliau kemudian mengarahkan agar kes itu dirujuk bagi pengurusan kes untuk menetapkan tarikh pendengaran baharu. Turut bersidang Datuk Azhahari Kamal Ramli.

Sementara itu, Brendan ketika dihubungi Bernama mengesahkan pada prosiding pengurusan kes berkenaan, Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Zuhrina Mohamed Nor menetapkan 19 Julai sebagai tarikh pendengaran baharu.

Pada 28 Mei lepas, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Lee Swee Seng menolak permohonan pekebun untuk memasuki dusun bagi menyelenggara dan mengusahakan pokok durian terbabit sementara menunggu pelupusan rayuan mereka terhadap keputusan Kerajaan Negeri Pahang yang mengeluarkan notis pengosongan kepada mereka.

Lee turut mengarahkan supaya pokok durian di atas tanah terbabit tidak ditebang kecuali dengan kebenaran mahkamah dan PKPP menyelenggara pokok terbabit dengan membaja, menyiram, menuai hasil serta menjauhkan haiwan dan serangga perosak.

Beliau juga berkata PKPP perlu memfailkan afidavit sebelum 10 hari bulan setiap bulan berkaitan gred buah durian terbabit dan harga jualannya.

Turut mewakili Kerajaan Negeri Pahang pada prosiding hari ini ialah Penolong Penasihat Undang-Undang Dorah Abdul Kadir dan Abdul Hafiz Razat manakala pekebun terbabit juga diwakili peguam Siew Choon Jern.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan