BICARA KES TUNTUTAN PALSU KETUA PENOLONG SETIAUSAHA KEMENTERIAN BERMULA OKTOBER INI

11/06/2024 03:40 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Perbicaraan kes ketua penolong setiausaha sebuah kementerian didakwa atas 11 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM6,000 akan bermula 7 Oktober ini di Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Shahrom Idris memaklumkan kepada mahkamah representasi yang dikemukakan Ku Aznal Shahri Ku Abd Hamid, 49, telah ditolak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

"Kira-kira 24 saksi pendakwaan dijangka memberi keterangan dan mereka semua merupakan rakyat Malaysia," kata Mohd Shahrom.

Sehubungan dengan itu, mahkamah menetapkan lapan hari bermula 7 hingga 10 Okt dan 18 hingga 21 Nov untuk perbicaraan kes.

Peguam Tabian Tahir yang mewakili tertuduh tidak membantah tarikh berkenaan dan memaklumkan anak guamnya mengekalkan pengakuan tidak bersalah.

"Untuk makluman mahkamah, anak guam masih bekerja sebagai penjawat awam dan tidak digantung kerja," katanya.

Pada 5 Mac lepas, Ku Aznal Shahri yang ketika kejadian berkhidmat sebagai Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Putrajaya didakwa membuat tuntutan palsu membabitkan sewaan lima hotel berjumlah RM5,344, elaun perjalanan sebanyak RM645.50 dan bayaran tol RM63.40 yang kesemua berjumlah RM6,052.90.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat, KDN Putrajaya antara 2 Mei dan 7 Ogos 2018, mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Akta itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan