REMAN LELAKI BANTU SIASATAN CURI KERETA DI STESEN MINYAK DISAMBUNG HINGGA JUMAAT

11/06/2024 06:31 PM

KUANTAN, 11 Jun (Bernama) -- Reman terhadap lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes melarikan kenderaan jenis Honda City di sebuah stesen minyak di Jalan Semambu di sini pada 3 Jun lepas, disambung hingga Jumaat ini. 

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata polis memohon lanjutan reman terhadap lelaki berusia 40 tahun itu bagi meneruskan siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

“Suspek disambung reman hingga 14 Jun selepas tempoh reman empat hari sejak 8 Jun lepas berakhir hari ini,” katanya yang dihubungi hari ini.

Pada 5 Jun lepas, lelaki itu direman dua hari selepas diberkas sepasukan polis di sebuah rumah yang dicerobohnya di Kampung Chinta Manis, Karak, Bentong setelah tertidur hampir tiga jam di kediaman itu dan reman itu kemudian disambung hingga hari ini.

Hasil ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah selain mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Pada 3 Jun lepas, seorang pesara guru wanita melalui detik cemas apabila dilarikan seorang lelaki tidak dikenali menggunakan kereta milik anaknya, dalam kejadian di stesen minyak berkenaan kira-kira 3.10 petang.

Sebelum kejadian itu, mangsa Napisah Muhammad, 68, bersama suaminya Mohamed Halim Omar, 77, dan anak perempuannya yang merupakan seorang akauntan yang juga pemilik kenderaan terbabit berhenti di stesen minyak itu untuk mengisi minyak serta ke tandas.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan