SPRM TAHAN LAPAN INDIVIDU TERBABIT SINDIKET PENJUALAN TANAH MILIK FELDA

11/06/2024 08:55 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan  lapan individu yang disyaki bersekongkol dengan menerima rasuah hampir RM2 juta daripada sindiket penjualan tanah milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Melaka.

Sumber SPRM memaklumkan lapan individu terbabit melibatkan broker, pegawai bank, pengarah syarikat serta orang awam yang ditahan di Kuala Lumpur dan Sabah berusia lingkungan 20 hingga 50-an.

“Tiga broker dan dua orang awam ditahan di Kuala Lumpur manakala dua pegawai bank serta seorang pengarah syarikat ditahan di Sabah antara pukul 6 petang semalam hingga 1 pagi tadi ketika hadir bagi dirakamkan keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur dan pejabat SPRM Sabah.

“Perintah reman selama tujuh hari sehingga 17 Jun ini terhadap lima suspek lelaki berkenaan dikeluarkan Majistret Lili Marisqa Khalizan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, manakala perintah reman selama enam hari sehingga 16 Jun ini kepada tiga suspek iaitu dua wanita dan seorang lelaki dikeluarkan Majistret Wan Farrah Afriza Wan Ghazali di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu selepas permohonan dibuat SPRM hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut sumber, tiga broker bersama pengarah syarikat dan dua orang awam yang bertindak sebagai orang tengah itu telah memberi rasuah hampir RM2 juta kepada dua pegawai bank berkenaan sebagai balasan membantu meluluskan pembukaan akaun perbankan yang kononnya didaftarkan atas nama Felda.

"Akaun perbankan yang dibuka dengan bantuan pegawai-pegawai bank berkenaan atas nama Felda ini bagi memancing kepercayaan pembeli yang menyangkakan bahawa urus niaga penjualan tanah itu adalah 'genuine' (benar) daripada Felda, seterusnya melakukan pembayaran ke akaun berkenaan.

"Tindakan pegawai bank yang bersekongkol dengan sindiket ini telah menyebabkan tanah milik Felda seluas lebih kurang 260 hektar bernilai RM400 juta di Bukit Katil, Melaka telah dijual pada 2023," katanya.

Sumber memaklumkan, susulan penahanan itu, SPRM turut menyita hampir 200 akaun bank milik individu dan syarikat membabitkan nilai lebih RM28 juta.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek berkenaan.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan  Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan