APMM TAHAN BOT TUNDA, TONGKANG BERSAUH TANPA KEBENARAN

11/06/2024 09:11 PM

MERSING, 11 Jun (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini menahan sebuah bot tunda dan tongkang dari Singapura kerana disyaki bersauh tanpa kebenaran.

Pengarah Zon Maritim Mersing Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata bot tunda dan tongkang itu ditahan pada 11 pagi di kedudukan kira-kira 3.5 batu nautika barat Pulau Harimau oleh pasukan peronda yang sedang melaksanakan Op Jaksa dan Op Tiris.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati bot tunda dan tongkang itu disyaki melakukan kesalahan kerana tidak melaporkan ketibaan serta bersauh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia. 

“Pemeriksaan terhadap dokumen mendapati kesemua tujuh individu termasuk nakhoda bot tunda serta tongkang itu merupakan warga Indonesia berusia lingkungan 25 hingga 54 tahun.

“Susulan itu, nakhoda dan ketua jurutera bot tunda serta tongkang terbabit dibawa ke Jeti Maritim Mersing untuk siasatan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suhaizan berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan operasi serta rondaan bagi mengekang kegiatan haram di perairan negara.

“Sebarang aduan dan salah laku jenayah maritim atau kejadian kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor menerusi talian 07-2199 404 atau MERS 999 untuk tindakan segera,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan