DUA LELAKI DIDAKWA EDAR 28.85 KG METHAMPETAMINE DI KLIA2

12/06/2024 01:24 PM

SEPANG, 12 Jun (Bernama) -- Dua lelaki berhadapan dengan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 38.85 kilogram bulan lepas.

Shamsuddin Fung Muhammad Tai Kwong, 36, dan Vincent Wong Siang Hee, 34, masing-masing mengangguk dan mengatakan mereka faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Dua lelaki itu didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya jenis berkenaan pada 30 Mei lepas kira-kira 6.30 pagi di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Aras2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2(KLIA 2). 

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah 39B(2) akta yang sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ahmad Hafiz A Bakar.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Sept ini untuk sebutan semula kes dan serahan laporan kimia. 

Media sebelum ini melaporkan polis menahan dua lelaki tempatan serta merampas 38.8 kilogram dadah jenis syabu bernilai lebih RM1.2 juta di KLIA 2di sini pada penghujung Mei lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dalam satu sidang media berkata seorang lelaki yang berusia 34 dipercayai keldai dadah ditahan kerana membawa dua bagasi berisi 37 bungkusan plastik disyaki syabu manakala seorang lagi yang berumur 36 tahun pula disyaki terbabit kegiatan pengedaran dadah ditahan di sebuah hotel berdekatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan