PEGUAM BANTAH PERMOHONAN POLIS UNTUK DAPATKAN PENGAKUAN SALAH IBU ZAYN RAYYAN

12/06/2024 05:22 PM

PETALING JAYA, 12 Jun (Bernama) -- Mahkamah Majistret di sini hari ini merekodkan bantahan peguam yang mewakili ibu kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin terhadap permohonan polis untuk mendapatkan pengakuan salah wanita itu berhubung siasatan kes pembunuhan anaknya.

Peguam Fahmi Abd Moin, yang mewakili bapa kanak-kanak berkenaan, berkata bantahan terhadap permohonan polis yang dibuat mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan 1950 itu direkodkan oleh Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

“Permohonan sepatutnya dibuat di bawah Seksyen 115 Kanun Tatacara Jenayah namun peruntukan itu dimansuhkan manakala permohonan yang dibuat mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan 1950 adalah tidak relevan untuk mengambil sebarang pengakuan salah di hadapan Majistret.

“Tiada apa-apa peruntukan khusus untuk membuat permohonan itu dan ia sangat prejudis terhadap wanita berkenaan,” katanya kepada pemberita di luar mahkamah.

Prosiding itu, yang berlangsung selama sejam, hanya dihadiri wanita berkenaan.

Ditanya sama ada pasangan itu akan didakwa, Fahmi berkata ia akan diketahui esok.

Peguam Mahmud Jumaat, yang mewakili wanita berkenaan, pula berkata anak guamnya tidak membuat sebarang pengakuan sebaliknya hanya memberi keterangan kepada Majistret pada prosiding yang diadakan secara tertutup itu.

“Pengakuan salah, jika sekalipun diperoleh ketika siasatan, tidak boleh digunakan ketika perbicaraan melainkan ia direkod di hadapan seorang Majistret,” katanya.

Pengamal media berkumpul di luar kompleks mahkamah di sini seawal 7.30 pagi untuk membuat liputan mengenai perkembangan terkini kes reman ibu bapa Zayn Rayyan.

Pihak berkuasa dilihat memperketat kawalan di pintu masuk kompleks mahkamah dan hanya mereka yang mempunyai urusan rasmi dibenarkan masuk.

Pada 6 Dis 2023, mayat Zayn Rayyan, 6, ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelum itu.

Ibu bapa kanak-kanak malang itu ditahan pada 31 Mei lepas di sekitar Puncak Alam, Selangor dan tahanan reman mereka selama 13 hari berakhir esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan