ADA TRANSAKSI KEMASUKAN WANG RM78,800 DARIPADA WAN SAIFUL & ASSOCIATES SDN BHD - SAKSI

25/06/2024 06:26 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu terdapat transaksi kemasukan wang berjumlah RM78,800 daripada Wan Saiful & Associates Sdn Bhd ke akaun sebuah syarikat automobil, dua tahun lepas.

Pengurus Perkhidmatan Perbankan Low Mong Tuan, 44, yang berkhidmat di Public Bank Berhad, Jalan Sultan Sulaiman turut mengesahkan transaksi kemasukan wang berkenaan ke dalam akaun Public Bank atas nama Tagami Auto Enterprise Sdn Bhd, dibuat melalui pindahan wang pada 12 Ogos 2022.

Low, yang sebelum ini bertugas di Public Bank Berhad, Cawangan Sg Chua berkata akaun itu telah dibuka atas nama Tagami Auto Enterprise di bank Cawangan Sg Chua, pada 7 Jan 2008.

“Berdasarkan spesimen tandatangan bagi akaun ini, terdapat dua penandatangan yang dibenarkan untuk akaun ini iaitu Yet Kam Looi dan Thin Poh Sin, dan akaun ini hanya memerlukan satu daripada dua penandatangan,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes bekas Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan, membabitkan 18 pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan rasuah berhubung projek Jana Wibawa.

Sebelum ini, Wan Saiful sebagai Pengarah Syarikat WA Advisory Group Sdn Bhd, didakwa memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM78,800 daripada akaun CIMB Bank Berhad milik syarikat itu ke akaun Public Bank Berhad milik Syarikat Tagami Auto Enterprise Sdn Bhd, sebagai bayaran bagi pembelian sebuah kereta jenis Ford Ranger.

Sementara itu, disoal peguam Chetan Jethwani, yang mewakili Wan Saiful sama ada saksi tahu transaksi bertarikh 12 Ogos 2022 dirujuk sebagai transaksi yang mencurigakan, Low menjawab: Saya tidak tahu.

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Rasyidah Murni Adzmi sama ada sehingga ke hari ini, saksi tidak mengetahui transaksi pada 12 Ogos telah dilaporkan sebagai transaksi yang mencurigakan, Low berkata: “Pada masa itu, saya tidak tahu sama ada transaksi itu adalah mencurigakan, sehingga saya menerima e-mel daripada pejabat atasan yang menyatakan dokumen berhubung transaksi tersebut perlu diberikan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Selepas pegawai penyiasat temu bual saya, baru saya tahu.”

Terdahulu, saksi pendakwaan kelapan Mohamad Norazman Md Salleh memberitahu mahkamah bahawa wang berjumlah RM36,550 dipindahkan daripada WSA Advisory Group ke akaun bank Pertubuhan Penggerak Muafakat Bagan Seberang Perai Utara.

Mohamad Norazman, 44, yang merupakan penolong pengurus bank, di Bank Rakyat Cawangan Seberang Jaya, Pulau Pinang berkata wang tersebut dipindahkan secara dalam talian pada 10 Okt 2022.

“Merujuk kepada penyata akaun Bank Rakyat atas nama Pertubuhan Penggerak Muafakat Bagan Seberang Perai Utara, terdapat transaksi kredit kemasukan ke dalam akaun ini melalui pindahan Duit Now berjumlah RM36,550, pada pada 10 Okt 2022,” kata saksi itu.

Wan Saiful juga berdepan satu pertuduhan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM36,550 dari akaun CIMB Bank milik Syarikat WSA Advisory Group ke akaun Bank Rakyat milik Pertubuhan Penggerak Muafakat Bagan Seberang Perai Utara.

Kepada soalan peguam Amer Hamzah Arshad, Mohamad Norazman bersetuju bahawa beliau tidak ditanya oleh pegawai penyiasat SPRM sama ada terdapat transaksi mencurigakan bagi akaun Pertubuhan Penggerak Muafakat Bagan Seberang Perai Utara.

Bagaimanapun, semasa pemeriksaan semula oleh TPR Rasyidah, saksi menjelaskan bahawa transaksi wang berjumlah RM36,550 dilakukan pada tahun 2022 dan penolong pengurus bank ketika itu adalah individu lain.

“Pada masa itu, penolong pengurus bank ialah Encik Roslan dan beliau merupakan individu yang akan membuat laporan jika ada transaksi mencurigakan. Saya tidak pasti untuk transaksi ini, telah dilaporkan atau tidak,” kata Mohamad Norazman.

Wan Saiful, 47, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta.

Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd, daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan SST bagi projek terbabit.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku antara 8 Julai hingga 30 Sept 2022.

Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta, dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu, antaranya bagi membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia, selain memindahkan wang itu ke beberapa akaun syarikat termasuk milik Sinar Karangkraf Sdn Bhd.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini, antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 10 Julai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan