KPDN SERBU EMPAT PREMIS JUAL JERSI TIRUAN DI JALAN PETALING

12/06/2024 10:47 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur menyerbu empat premis perniagaan di Jalan Petaling dan merampas jersi tiruan pelbagai jenama bernilai lebih RM400,000, Isnin lepas.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur Ariffin Samsudin berkata serbuan dijalankan hasil risikan selama dua minggu oleh pihaknya dan pemilik cap dagangan terhadap premis terbabit yang menjalankan aktiviti menjual jersi pasukan bola sepak yang akan bertanding dalam kejohanan Piala Eropah (UEFA Euro 2024).

Beliau berkata serbuan terhadap dua gerai dan dua stor penyimpanan yang disyaki beroperasi sejak setahun itu menemukan 6,230 jersi tiruan pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM450,000.

"Hasil siasatan mendapati jersi ini diperoleh dari luar negara dan dijual pada harga RM140 sehelai memandangkan permintaan terhadap jersi pasukan bola sepak akan meningkat sempena UEFA Euro nanti," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Ariffin pihaknya turut merampas tiga mesin menampal nombor dan logo jersi bernilai RM15,000.

Beliau berkata pihaknya turut mendapati premis berkenaan menerima tempahan secara borong daripada peniaga di luar Lembah Klang dan usaha mengesan pemilik premis itu sedang dijalankan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Kes katanya disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Ariffin berkata KPDN Kuala Lumpur pada tahun ini telah merekodkan 55 kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987 dengan nilai rampasan berjumlah RM1.6 Juta melibatkan sitaan 32,700 unit barangan.

"Untuk tempoh sama, KPDN turut menahan tujuh individu melibatkan kesalahan berkaitan harta intelek," katanya.

Menurut Ariffin pihaknya mengalu-alukan kerjasama berterusan daripada wakil pemilik cap dagangan yang berdaftar untuk membanteras aktiviti pengedaran dan penjualan barangan tiruan.

"Pengguna juga dinasihatkan untuk tidak menyokong penjualan jersi tiruan dan pihak KPDN tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan