LELAKI AMBIL UPAH BALING BOM PETROL DI MELAKA DITAHAN

13/06/2024 10:22 AM

MELAKA, 13 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki warga tempatan ditahan semalam kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti khianat dengan membaling bom petrol di Melaka dan Perak awal bulan ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata suspek berusia 25 tahun itu ditahan kira-kira 9 pagi di hadapan sebuah rumah di Taman Kok Liang, Kuala Lumpur, kerana disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along dari negara jiran.

"Tangkapan itu dibuat berikutan laporan polis oleh seorang wanita berusia 38 tahun di Masjid Tanah, Alor Gajah selepas mangsa mendapati kenderaan yang diparkir di hadapan rumahnya terbakar akibat dibaling bom petrol.

"Siasatan awal mendapati suspek berkenaan bekerja dengan sebuah syarikat pinjaman wang dari negara jiran sejak sebulan lepas dan dipercayai turut terlibat dengan satu aktiviti khianat di Sitiawan, Perak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainol berkata polis juga merampas sebuah kereta jenis Toyota Unser, sebuah telefon bimbit dan sepasang pakaian dalam tangkapan tersebut.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan