KEMPEN PRK SG BAKAP LANCAR

24/06/2024 02:01 PM

NIBONG TEBAL, 24 Jun (Bernama) -- Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang memasuki hari ketiga hari ini berjalan lancar dan tiada sebarang laporan polis dibuat setakat ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata tujuh permit telah diluluskan sehingga hari ini dan tiada sebarang permohonan ditolak.

"Tempoh berkempen berbaki 12 hari lagi sebelum menjelang hari mengundi pada 6 Julai nanti dan pihak polis menasihatkan semua pihak termasuk parti politik atau sesiapa sahaja untuk mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

"Jangan timbulkan sebarang provokasi kepada mana-mana pihak semasa kempen termasuk khianat atau merosakkan bahan-bahan kempen pilihan raya seperti sepanduk, poster, bendera parti dan seumpamanya," katanya dalam kenyataan hari ini.

PRK DUN Sungai Bakap yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini bagi hari mengundi untuk PRK berkenaan yang mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan