MAJIKAN, 43 PEKERJA WARGA VIETNAM TANPA PERMIT DITAHAN

13/06/2024 04:06 PM

JEMPOL, 13 Jun (Bernama) -- Seorang majikan tempatan ditahan bersama 43 pekerja asing warga Vietnam tanpa permit kerja yang sah dalam serbuan terhadap premis pemprosesan sarang burung walit di Bahau, dekat sini pada 8 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata lelaki tempatan berusia 47 tahun dan semua pekerja asing itu ditahan di sebuah lot kedai dua tingkat di Pusat Perniagaan Bahau, kira-kira 5 petang.

Beliau berkata semakan lanjut mendapati kesemua pekerja tidak mempunyai sebarang permit untuk bekerja di premis berkenaan.

"Anggota membuat risikan di sekitar kawasan premis sejak 4 Jun dan mengesan pergerakan seorang lelaki keluar masuk ke premis itu dalam keadaan mencurigakan. 

“Ketika serbuan,  20 wanita dan 23 lelaki warga Vietnam sedang bekerja membersih dan memproses sarang burung walit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hoo berkata hasil siasatan mendapati peniaga itu menjalankan perniagaan memproses sarang burung walit lebih kurang setahun dan menyewa tiga lot kedai yang telah diubah suai sebagai  tempat tinggal serta tempat pemprosesan.

“Terdapat 18 buah bilik tidur dijadikan sebagai tempat tinggal disediakan kepada semua pekerja," katanya.

Beliau berkata lelaki tempatan itu direman tujuh hari manakala warga Vietnam direman 14 hari bermula 9 Jun, Kes disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1963,  Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan