PENGANGGUR CUBA RAGUT BARANGAN BERHARGA MILIK WARGA ASING DITAHAN

22/06/2024 03:24 PM

PUTRAJAYA, 22 Jun (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki dipercayai terbabit kejadian cubaan meragut barangan berharga milik seorang wanita warga China di Southville City di Sepang semalam yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam kenyataan hari ini berkata lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di Kampung Jenderam Hilir kira-kira 4 petang semalam susulan laporan yang diterima.

Beliau berkata pihaknya telah menerima laporan seorang lelaki yang telah merakam kejadian itu yang berlaku di sebuah kawasan kediaman di Southville City kira-kira 10.45 pagi semalam.

“Suspek merupakan seorang pengangggur dan tidak mempunyai rekod lampau, turut dirampas motosikal yang digunakan dalam kejadian,” katanya sambil menambah permohonan reman akan dilakukan hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 393 kanun keseksaan. 

Wan Kamarul meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan tidak berkongsi berita yang tidak benar mengenai kejadian itu di media sosial.

Difahamkan dalam kejadian tersebut, seorang lelaki menaiki motosikal dikesan cuba meragut barangan berharga mangsa yang diletakkan di tepi jalan. 

Namun, cubaan ragut itu tidak berhasil dan suspek kemudian melarikan diri, tetapi kejadian itu sempat dirakam orang awam, malah nombor pendaftaran motosikal suspek juga berjaya direkodkan dalam video berdurasi 28 saat yang tular di media sosial TikTok. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan