PENJAJA MAKANAN DIDAKWA BUNUH ISTERI

14/06/2024 04:36 PM

IPOH, 14 Jun (Bernama) -- Seorang penjaja makanan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya, dua hari lepas.

Wong Chun Foo, 56, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret S. Punitha, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Wong didakwa membunuh Yew Mee Foong, 48, di sebuah rumah di Kampung  Simee di sini antara 8.30 hingga 9 pagi pada 12 Jun.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh dan mahkamah menetapkan 19 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Vachitra Wong Rui Fern manakala Wong tidak diwakili peguam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad sebelum ini dilapor berkata mangsa ditemui dalam keadaan terbaring berlumuran darah di kawasan rumahnya dengan tiga kesan tikaman di bahagian dada dan kecederaan di bahagian kepala.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan