OPS TOKEN LHDN BENDUNG KETIRISAN HASIL CUKAI MENERUSI DAGANGAN WANG KRIPTO

15/06/2024 03:47 PM

PUTRAJAYA, 15 Jun (Bernama) -- Operasi pematuhan khas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Ops Token, telah diadakan baru-baru ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan ketirisan hasil cukai dalam perdagangan mata wang kripto dan menambah baik pentadbiran cukai negara.

Diadakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan CyberSecurity Malaysia (CSM) dan kekuatan 38 anggota, Ops Token telah dijalankan di 10 lokasi berbeza sekitar Lembah Klang secara serentak. 

“Menerusi operasi ini, didapati data perdagangan mata wang kripto yang disimpan dalam peranti mudah alih dan komputer telah berjaya diperoleh bagi mengenal pasti nilai aset digital yang didagangkan sehingga menyebabkan ketirisan hasil cukai yang amat signifikan.

“Data yang diterima akan dianalisa secara terperinci bagi mendapatkan nilai aset mata wang kripto yang diperdagangkan dan keuntungan yang dijana daripada kegiatan tersebut sekali gus mengenal pasti nilai ketirisan cukai sebenar yang tidak pernah dilaporkan kepada LHDN,” demikian menurut LHDN dalam kenyataan hari ini.

Hasil operasi turut menemui beberapa entiti syarikat dan perkongsian liabiliti terhad sengaja diwujudkan untuk menjadi pengantara kepada transaksi perdagangan mata wang kripto tersebut semata-mata bagi mengelakkan pelaporan cukai.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif  LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin dalam kenyataan sama berkata mana-mana individu yang terlibat dengan perdagangan mata wang kripto dalam negara adalah tertakluk kepada cukai pendapatan di Malaysia.

Justeru, beliau menasihatkan agar mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti perdagangan mata wang kripto tampil membuat pelaporan cukai di mana-mana pejabat LHDN berdekatan dengan kadar segera sebelum tindakan pematuhan diambil. 

Pelaksanaan operasi berkenaan juga diharap mencapai objektifnya dalam memperluaskan asas hasil dengan mengurangkan ketirisan dan meningkatkan kecekapan cukai seterusnya menyumbang kepada kelestarian kutipan hasil negara.

Maklumat berkaitan Garis Panduan Layanan Cukai Ke Atas Transaksi Mata Wang Digital boleh dimuat turun menerusi capaian pantas : https://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/GP_LAYANAN_CUKAI_KE_ATAS_TRANSAKSI_MATA_WANG_DIGITAL.pdf.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan