SEMBILAN LELAKI MENGAKU TIDAK BERSALAH CURI KABEL TELEKOM

14/06/2024 05:26 PM

MELAKA, 14 Jun (Bernama) -- Sembilan lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mencuri wayar kabel milik Telekom Malaysia (TM) bernilai RM105,600 antara Disember 2023 hingga bulan lepas.

Mereka ialah P. Rishitharan, 26; Mohamad Rapi Mohammad Hadran, 31; Mazly Sulaiman, 34; Muhammad Ashwad Zaharuddin, 28; Pan Wei Loong, 28; Mohd Shah Maibat, 32; Abell Njok Richard, 30; Kadir Masri, 24, dan Muhammad Farhan Anuar Shah Abdullah, 23.

Kesemua tertuduh didakwa dengan niat mencuri kabel milik TM di tujuh lokasi berbeza iaitu di tepi jalan Tun Teja Malim, tepi jalan Taman Krubong, Jalan Pantai Kundor, tepi jalan Jalan Solok Tangga Batu, manhole atau lurang kabel Telekom berhadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Malim, Jalan Perindustrian Tangga Batu dan tepi jalan Pengkalan Minyak dalam daerah Melaka Tengah, antara 22 Dis 2023 hingga 23 Mei lepas. 

Pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang jika didapati bersalah boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya boleh dihukum dengan pemenjaraan dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat. 

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Isshar tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh berdepan dakwaan lain namun sekiranya mahkamah membenarkan, jumlah dicadangkan adalah tidak kurang RM10,000.

Kesemua lelaki itu yang bekerja sebagai pekerja kimpalan, membuat servis penghawa dingin dan peniaga air balang tidak diwakili peguam dan mereka memohon jaminan rendah atas alasan menanggung keluarga.   

Majistret Khairunisak Hassni membenarkan jaminan antara RM3,000 hingga RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Ogos ini sebagai tarikh serahan dokumen serfa lantikan peguam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan