PENERBIT, PENGARAH FILEM MENTEGA TERBANG DIBENAR RUJUK PERSOALAN PERLEMBAGAAN KE MAHKAMAH TINGGI

14/06/2024 05:35 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan permohonan  pengarah dan penerbit filem Mentega Terbang untuk merujuk persoalan perlembagaan berhubung Seksyen 298 Kanun Keseksaan melibatkan pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain melalui filem itu ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim membenarkan permohonan itu setelah memutuskan permohonan yang difailkan Mohd Khairianwar Jailani dan Tan Meng Kheng pada 11 Mac lepas adalah bermerit.

"Setelah mahkamah menimbang dan meneliti secara keseluruhan permohonan difailkan kedua-dua pemohon menerusi notis usul difailkan pada 11 Mac lepas serta hujahan bertulis serta lisan pada 10 Mei lepas, mahkamah mendapati permohonan itu adalah bermerit.

"Mahkamah menangguhkan kes dihadapi kedua-dua pemohon sehingga persoalan undang-undang itu diputuskan Mahkamah Tinggi," kata Noorelynna yang kemudian menetapkan 20 Sept ini untuk sebutan kes bagi pihak-pihak memaklumkan perkembangan prosiding di Mahkamah Tinggi.

Dua persoalan itu adalah bagi menentukan sama ada Seksyen 298 Kanun Keseksaan melanggar Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang melindungi kebebasan bersuara dan sama ada frasa 'melukakan perasaan agama seseorang', iaitu sebab unsur dalam kesalahan seksyen berkenaan melanggar hak untuk perbicaraan adil kerana frasa itu tidak jelas dan demikian melanggar Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

Pada prosiding hari ini, Mohd Khairianwar dan Tan diwakili peguam Zaid Malek manakala Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob dan Nadia Mohd Izhar hadir bagi pihak Jabatan Peguam Negara (AGC).

Pada 17 Jan lepas, Mohd Khairianwar, 32, yang juga seorang penulis skrip dan Tan, 36, didakwa melukakan perasaan agama orang lain melalui filem itu dengan cara melafazkan perkataan-perkataan dalam pendengaran dan meletakkan objek-objek dalam penglihatan orang di sebuah premis di Jalan Semarak Api di sini pada 12.34 tengah hari, 26 Feb 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri mengharamkan tayangan dan publisiti filem itu menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 2662 Akta Penapisan Filem 2002 Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023 bertarikh 21 Ogos 2023 yang ditandatangani oleh menteri berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Filem yang ditayang menerusi platform penstriman video itu mengundang kecaman dan kegusaran orang awam kerana didakwa memaparkan adegan dengan unsur bertentangan fahaman serta kepercayaan agama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan