LELAKI RUGI LEBIH RM700,000 TERPEDAYA TAWARAN PEKERJAAN DALAM TALIAN

14/06/2024 06:26 PM

JOHOR BAHRU, 14 Jun (Bernama) -- Seorang peniaga mengalami kerugian lebih RM700,000 selepas terperdaya dengan tawaran pekerjaan sambilan secara dalam talian yang tidak wujud.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata dalam laporan kepada polis semalam lelaki berumur 57 tahun itu mendakwa pada 22 April lepas dia ditawarkan pekerjaan oleh seorang individu yang menghantar pesanan di Messenger (Facebook), mempromosikan kerja sambilan yang menjanjikan keuntungan.

Beliau berkata lelaki itu kemudiannya diarah mendaftar dengan sebuah laman web dan diberikan ‘task’ untuk mendapat keuntungan menerusi pembelian barangan sukan dan kosmetik, serta perlu membuat pembayaran ke satu akaun bank yang diarahkan, dengan jumlahnya menjangkau RM267,000.

Dalam kenyataan di sini hari ini beliau berkata lelaki itu menyedari ditipu apabila tidak menerima sebarang keuntungan setelah membuat bayaran sehingga berjumlah RM733,597.

Sementara itu dalam satu lagi kes Kumar berkata seorang penolong pengurus sebuah syarikat mengalami kerugian RM472,200 selepas menjadi mangsa penipuan berkaitan pelaburan saham.

Beliau berkata lelaki berusia 41 tahun itu membuat laporan polis pada 13 Jun lepas, mendakwa telah berhubung dengan seorang individu di aplikasi Whatsapp pada 3 April lepas, setelah tertarik dengan iklan pelaburan dalam pembelian saham sebuah kolej di luar negara.

“Lelaki itu dijanjikan keuntungan lumayan dan telah membuat pembayaran di beberapa akaun bank, namun, dia mengesyaki ditipu selepas wang keuntungan berjumlah RM3.7 juta yang dipaparkan menerusi sebuah aplikasi pelaburan itu gagal diperolehi dan individu berkaitan juga tidak dapat dihubungi,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan