PDRM KONGSI REZEKI SEMPENA SAMBUTAN AIDILADHA

19/06/2024 01:37 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini berkongsi rezeki bersama warganya dan golongan memerlukan, dengan menyumbangkan daging korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pengagihan daging korban tersebut, hasil sumbangan 22 ekor lembu oleh Persatuan Bekas Unit Tindakan Khas Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Anugerah Kasih Malaysia (PERKASIH), MyFundAction serta Persatuan Keluarga Polis.

“Dimensi dan hikmah pengorbanan daripada ibadah ini juga, dapat dilihat dari sudut kesudian berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.

“Diharapkan sumbangan ini dapat memberi keceriaan kepada penerima, selain dapat memupuk semangat perpaduan dan kerjasama menerusi aktiviti gotong-royong yang dijalankan,” katanya ketika berucap pada Majlis Korban Perdana sempena Hari Raya Aidiladha di Masjid Al-Amin Briged Tengah Pasukan Gerakan Am, Cheras di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata program terbabit pastinya sukar dan tidak setanding dengan kisah kepatuhan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail kepada Allah SWT.

Bagaimanapun, dalam konteks PDRM beliau menyeru warganya mencontohi pengorbanan itu, dengan menterjemahkannya kepada khidmat bakti, kesetiaan dan pengorbanan kepada nusa dan bangsa, demi melihat keamanan negara dan kesejahteraan masyarakat kekal berpanjangan.

Sementara itu, MyFundAction dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima kolaborasi bernilai RM236,439 daripada Tabung Solidariti Palestin PDRM, yang akan diberikan 100 peratus kepada Palestin.

“MyFundAction turut menerima pek makanan daging korban sebagai simbolik penyertaan PDRM dalam program Qurban Care For Gaza, yang telah disertai sendiri oleh kakitangan PDRM seluruh Malaysia pada tahun ini.

“Pek ini dijangka akan dihantar terus ke Palestin melalui jalan laut pada Disember nanti, hasil penyertaan korban bersama MyFundAction pada tahun ini,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan