WANG DALAM AKAUN HILANG BABITKAN KERUGIAN RM24.2 JUTA: POLIS TAHAN KAKITANGAN BANK

15/06/2024 08:16 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Polis menahan seorang kakitangan bank yang disyaki terbabit dalam kes kehilangan wang daripada empat akaun simpanan tetap membabitkan kerugian RM24.2 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata wanita berusia 38 tahun itu ditahan di Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis lepas dan polis telah merampas tiga unit telefon bimbit, lapan kad ATM pelbagai bank, wang tunai RM4,400 serta sebuah komputer riba.

“Siasatan setakat ini mendedahkan terdapat penglibatan ahli sindiket dari dalam dan luar bank yang bersubahat bagi urusan pengeluaran wang berkaitan.

“Ini memandangkan urusan tersebut hanya boleh dilakukan melalui pakatan dalaman,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima empat laporan daripada pemilik akaun dan kakitangan bank pada awal Jun lepas di Petaling Jaya, Selangor apabila mangsa menyedari terdapat pengeluaran wang mencurigakan yang dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu membabitkan beberapa akaun simpanan.

Ramly berkata semua pemilik akaun menafikan bahawa mereka tahu tentang perkara itu dan tidak pernah ke Kota Kinabalu untuk membuat pengeluaran.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihaknya sedang mengesan serta mengenal pasti beberapa individu lain yang terbabit.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan