SKIM PENIPUAN PELABURAN MESIN MINUMAN LAYAN DIRI AKIBATKAN KERUGIAN LEBIH RM5.3 JUTA

23/06/2024 09:23 PM

KUALA LUMPUR 23 Jun (Bernama) -- Skim penipuan membabitkan pelaburan mesin minuman layan diri merekodkan kerugian lebih RM5.3 juta sejak tahun 2023 menerusi 57 laporan polis yang dibuat, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Beliau berkata siasatan bagi semua kes dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ramli berkata susulan sidang media oleh Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) semalam, JSJK Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima laporan daripada mangsa-mangsa yang terkesan dengan skim itu. 

“PDRM menggesa mana-mana individu yang menjadi mangsa skim penipuan ini tampil membuat laporan di balai polis berhampiran untuk tindakan siasatan selanjutnya,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mencari maklumat secukupnya sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan termasuk mendapatkan pandangan serta nasihat daripada agensi berkaitan seperti Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.

"Jangan membuat pelaburan secara membuta tuli dan harus beringat bahawa sifat tamak haloba serta kejahilan menjurus kepada kerugian," katanya.

Ramli juga meminta orang ramai agar menghubungi Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sekiranya mempunyai sebarang kebimbangan berhubung penipuan.

Semalam, media melaporkan sebuah syarikat yang bekerjasama dengan sebuah yayasan terkenal didakwa melakukan penipuan skim pelaburan mesin minuman layan diri membabitkan kerugian RM1.8 juta.

Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim berkata pihaknya menerima 19 aduan daripada mangsa yang menyertai skim itu sebelum penularan pandemik COVID-19.

Hishamuddin mendedahkan mangsa ditawarkan dividen lumayan dan manfaat lain oleh syarikat terbabit sekiranya menyertai skim itu namun mereka tidak menerima pulangan yang dijanjikan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan