AM > BERITA

UNI-MLC SAMBUT BAIK KEJAYAAN MALAYSIA KE TAHAP 2, BUKTI KOMITMEN NEGARA

27/06/2024 01:30 AM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas kejayaan menaik taraf kedudukan Malaysia ke Tahap 2 dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang tahun 2024, baru-baru ini.

Presidennya Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata kejayaan itu sekali gus menjadi bukti komitmen kerajaan dalam menangani isu-isu membabitkan pemerdagangan orang.

“UNI-MLC mengucapkan tahniah dan syabas atas pencapaian positif kedudukan Malaysia. Laporan itu turut menggariskan 16 perkara penambahbaikan dan pelan tindakan yang boleh dilaksanakan oleh Malaysia untuk penilaian tahun berikutnya iaitu mulai 1 April 2024 hingga 31 Mac 2025.

“Berdasarkan kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam, peningkatan itu strategik dan signifikan kerana Malaysia sebelum ini dinilai pada Tahap 3 Pemerhatian pada 2023 dan kali terakhir berada di Tahap 2 adalah pada tahun 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KDN dalam kenyataan semalam menyambut baik peningkatan positif Malaysia yang berjaya dinaik taraf ke Tahap 2 dalam laporan berkenaan dan peningkatan ini adalah amat strategik dan sangat signifikan buat Malaysia.

Mohamed Shafie berkata pencapaian ini adalah hasil komitmen berterusan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), dan usaha yang diperlihatkan Menterinya, Steven Sim, dalam merealisasikan agenda membanteras pemerdagangan orang di Malaysia.

Beliau berkata KDN dan KESUMA telah memainkan peranan yang cukup penting dan konsisten dalam membawa penambahbaikan dalam isu berkenaan.

“Misalnya, pada tahun lalu, KESUMA sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Pemerdagangan Buruh telah mengatakan pihaknya akan bekerjasama rapat dengan KDN dan pihak-pihak berkepentingan lain dalam usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang khususnya buruh paksa.

“Apa yang penting, kedudukan Malaysia telah bertambah baik, yang pertama kali direkodkan selepas tujuh tahun. UNI-MLC amat yakin bahawa usaha yang bersepadu dan menyeluruh akan diteruskan untuk membuktikan bahawa Malaysia tidak akan berkompromi dalam soal pemerdagangan orang,” katanya.

Beliau berkata UNI-MLC juga bersedia untuk bergandingan dan memberi kerjasama kepada KDN dan KESUMA dalam menangani isu pemerdagangan orang sekali gus, memperbaiki kedudukan Malaysia melalui pendekatan menyeluruh.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, wakil negara Migrant Care Alex Ong berkata sudah tiba masanya bagi aktivis Malaysia untuk melibatkan diri secara beretika dengan komuniti migran, menyokong prinsip 'Tidak membahayakan' daripada mencari kesalahan dan dakwaan untuk menarik perhatian media dengan aktivis asing yang berlebihan.

Ong berkata masih terdapat percanggahan dalam sistem penyampaian dasar, termasuk pangkalan data migran berdokumen dan tanpa dokumen, sistem pemantauan pekerja rumah tangga, penyalahgunaan model perniagaan penyumberan luar serta kekurangan dasar migran untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

“Perkhidmatan pembersihan bukan institusi yang tidak terkawal masih memerlukan campur tangan dasar untuk menghapuskan eksploitasi oleh syarikat pembersihan rumah ke rumah merangkap agensi pekerja rumah tangga yang membangunkan perjanjian haram dalam menjadikan pembersih sebagai pembantu rumah...

“Kerjasama selanjutnya dengan pertubuhan bukan kerajaan yang berakar umbi aktif akan meningkatkan keberkesanan pembangunan dasar dan sistem penyampaiannya. Kami masih memerlukan kemahuan politik yang kuat untuk menambah baik pengurusan migran,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan