MAHKAMAH RAYUAN BENARKAN ARUL KANDA PINDA PERNYATAAN PEMBELAAN UNTUK MASUKKAN TUNTUTAN BALAS

19/06/2024 07:09 PM

PUTRAJAYA, 19 Jun (Bernama) -- Mahkamah Rayuan di sini membenarkan sebahagian daripada rayuan bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy untuk meminda pernyataan pembelaannya bagi memasukkan tuntutan balasnya untuk mendapatkan gaji dan bonus tertunggak daripada 1MDB, sebagai respons kepada saman syarikat itu terhadapnya.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Azizah Nawawi membenarkan rayuan Arul Kanda untuk meminda pernyataan pembelaannya bagi menambah tuntutan balas yang terhad kepada tuntutan kontrak pekerjaannya (Arul Kanda) bagi mendapatkan gaji tertunggak dan bonus daripada 1MDB.

"Kami mendapati ada merit dalam rayuan itu," kata Hakim Azizah ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah itu.

Beliau berkata tuntutan balas itu dibuat sebagai respons kepada penyataan tuntutan responden (1MDB) mengenai isu pemberhentian kerja.

Selain Azizah panel hakim itu turut disertai Hakim Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Dr Choo Kah Sing.

Terdahulu dalam pendengaran rayuan, peguam Arul Kanda Sanjay Mohan memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya tidak meneruskan rayuan berkaitan dengan tuntutan untuk penyalahgunaan proses, tetapi hanya akan mengehadkan rayuan kepada pindaan yang dicadangkan berhubung dengan tuntutan gaji dan bonus tertunggak.

Tuntutan balas itu mengandungi dua tuntutan berasingan dan berbeza iaitu mendapatkan semula gaji tertunggak dan bonus yang tertunggak kepada Arul Kanda, dan tuntutan kedua adalah tuntutan berkaitan penyalahgunaan proses.

Mahkamah Tinggi pada Feb lepas menolak permohonan Arul Kanda untuk meminda pernyataan pembelaannya dan memasukkan tuntutan balas bagi kedua-dua tuntutan.

Arul Kanda yang dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi jenayah dalam kes pindaan laporan audit 1MDB pada bulan Mac tahun lepas melalui tuntutan balasnya memohon sejumlah RM202,600 terhadap kehilangan pendapatan, bonus RM2.5 juta, ganti rugi khas RM54 juta, kehilangan pendapatan dari Jun 2019 hingga 2036, ganti rugi am, teladan dan teruk.

Dalam tuntutan balas, beliau berkata pada 15 Jun 2018 1MDB secara salah menamatkan kontraknya tanpa sebarang asas dan tanpa sebarang siasatan untuk merumuskan bahawa dia bertindak mengetepikan kepentingan syarikat.

Pada Mei 2021 1MDB memfailkan saman terhadap Arul Kanda dan bekas pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah atas dakwaan pecah amanah dan konspirasi sehingga menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berjumlah AS$1.83 bilion berhubung pelaburannya dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd, yang ditukar kepada pelaburan di Brazen Sky Limited, yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.

1MDB juga mendakwa Arul Kanda dan Mohd Irwan melakukan pecah amanah serta konspirasi dengan menyeleweng dana 1MDB berjumlah US$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan US$1.265 bilion, yang dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.

1MDB mendakwa Mohd Irwan juga berkonspirasi dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membuat pembayaran berjumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda selaras dengan perjanjian itu tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian.

Pada 23 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Arul Kanda dan Mohd Irwan Serigar untuk membatalkan saman AS$6.59 bilion yang difailkan syarikat itu terhadap mereka.

Peguam Brendan Navin Siva dan Aida Haryani Salamon mewakili 1MDB. Turut mewakili Arul Kanda ialah peguam Adam Lee dan Hing Hong Jer.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan