DUA PASANGAN SUAMI ISTERI MENGAKU TIDAK BERSALAH SIMPAN BARANG KEMAS MILIK KIEDA CREPE

19/06/2024 07:16 PM

BUTTERWORTH, 19 Jun (Bernama) -- Dua pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini pertuduhan menyimpan harta rompak iaitu barangan kemas seberat 247.65 gram (g) milik pempengaruh media sosial Siti Nur Khalieda Yusra Mohd Jais atau Kieda Crepe, April lalu.

Tertuduh, Nurul Hidayah Mahat, 24, dan adiknya, Endang Nur Nabila Suriana, 22, bersama suami mereka Muhammad Ezwan Syafiq Joha, 27, dan Muhammad Affizan Abdullah, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa dengan niat curang telah menyimpan harta iaitu seutas gelang tangan seberat 27.95 gram, seutas rantai leher gantung 'love high polish' (130.56 gram), seutas rantai tangan gantung 'love high polish' (84.64 gram) dan seutas rantai leher (4.50 gram) kepunyaan Siti Nur Khalieda Yusra melalui hasil rompakan berkumpulan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Aman, Pokok Sena, Kepala Batas pada jam 9 malam, 25 April lalu.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. 

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali tidak menawarkan sebarang jaminan.

Bagaimanapun, peguam Ranjit Singh Sandhu merayu agar mahkamah membenarkan jaminan dengan nilai yang munasabah kepada kesemua anak guamnya.

"Muhammad Ezwan hanya bekerja sebagai peniaga dengan pendapatan RM1,200 sebulan dan isterinya, Nurul Hidayah tidak bekerja dan mereka mempunyai dua orang anak yang masih kecil berusia tujuh tahun dan sembilan bulan, manakala Nurul Hidayah pula menghidap kencing manis kronik yang memerlukan suntikan insulin.

"Endang Nur Nabila Suriana adalah suri rumah dan juga menghidap penyakit kencing manis kronik manakala suaminya, Muhammad Affizan yang menghidap penyakit asma hanya bekerja sebagai pekerja landskap secara separuh masa dengan pendapatan RM1,500 sebulan," katanya.

Noor Aini kemudiannya menetapkan jaminan RM18,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh, serta tiga syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran kediaman mereka pada 1 dan 15 hari bulan setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak dibenarkan mendekati atau menghubungi mangsa atau saksi sehingga kes selesai.

"Sekiranya tertuduh tidak mempunyai pasport antarabangsa, mahkamah akan mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia supaya tidak mengeluarkan pasport kepada mereka sehingga proses perbicaraan tamat," kata Noor Aini.

Kes akan disebut semula pada 19 Julai depan untuk serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan usahawan makanan Kieda Crepe mengalami kerugian sehingga RM800,000 apabila rumahnya di Kepala Batas dipecah masuk pada April lalu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan