10 WARGA MYANMAR DITAHAN CUBA MASUK MALAYSIA GUNA LALUAN HARAM

22/06/2024 02:32 PM

ALOR SETAR, 22 Jun (Bernama) -- Seramai 10 pendatang tanpa izin warga Myanmar ditahan ketika cuba memasuki negara ini di kawasan kebun getah dekat sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, petang semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua yang ditahan terdiri tujuh lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 21 hingga 49 tahun.

“Pada 21 Jun 2024 pukul 3.40 petang, pasukan beroperasi yang sedang melaksanakan rondaan mengesan dan menahan sekumpulan orang awam dalam keadaan mencurigakan di kawasan kebun getah di sempadan Malaysia-Thailand.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua 10 warga Myanmar itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan cuba masuk ke Malaysia melalui laluan haram di sempadan,” katanya.

Turut dirampas enam unit telefon bimbit, 12 beg, satu pasport palsu dan wang tunai dalam mata wang Thailand dan Myanmar dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM3,326.23. 

Menurut kenyataan itu, kesemua pendatang itu diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

“Pasukan beroperasi akan terus memastikan keselamatan sempadan negara daripada aktiviti jenayah rentas sempadan khususnya kemasukan pendatang tanpa izin,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan