JURURAWAT RUGI RM88,700 AKIBAT "PHONE SCAM"

26/06/2024 09:22 PM

KUANTAN, 26 Jun (Bernama) -- Seorang jururawat wanita berusia 41 tahun kerugian RM88,700 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan “phone scam” yang menyamar sebagai pegawai dari Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Noor Hisam Nordin berkata pada pertengahan Jun lepas, mangsa telah menerima panggilan daripada individu yang mendakwa akaunnya dalam siasatan polis kerana telah digunakan oleh sindiket dan turut terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram.

“Mangsa telah disambungkan panggilan kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan dikatakan turut terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram. Untuk menyelesaikan kes, mangsa telah diarahkan untuk memindahkan wang ke akaun bank yang diberikan. 

“Akibat terlalu takut, mangsa membuat 12 transaksi ke dalam tiga akaun bank yang berbeza berjumlah RM88,700 dan sumber kewangan adalah wang simpanannya. Menyedari ditipu, mangsa membuat laporan polis di Temerloh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisam turut menasihatkan orang ramai membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan sebaik menerima panggilan meragukan bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan. 

Beliau berkata masyarakat juga boleh membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima terlebih dahulu di https://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan