SUKAN > BERITA

PHEE JINQ EN MAHU BEREHAT SEKETIKA DARI KOLAM RENANG

29/06/2024 02:22 PM

Daripada Nurul Izzati Mansor

SURABAYA, 29 Jun (Bernama) -- Perenang berpengalaman negara Phee Jinq En mengambil keputusan untuk melupakan seketika kolam renang selepas kejayaan menyumbang pingat emas dan perak kepada kem negara di temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024. 

Phee Jing berkata beliau mahu berehat selepas menempuh dua tahun yang dianggap mencabar apabila perlu menjalani latihan dan mengikuti kuliah bagi memenuhi tanggungjawab sebagai atlet serta pelajar. 

Bagaimanapun, atlet yang pernah beraksi di Sukan Olimpik itu berpuas hati dengan prestasinya di AUG 2024 yang juga merupakan penampilan terakhirnya di temasya itu. 

"Satu emas dan satu perak pada AUG kali ini, bagi saya ia satu pencapaian yang baik. Saya sudah buat yang terbaik memandangkan terpaksa mengharungi dua kejohanan berturut-turut.

"Kini saya boleh 'bernafas' dan dapat tenang sedikit selepas berdepan cabaran dalam tempoh dua tahun dengan melakukan kajian serta latihan. Saya juga tidak akan sambung belajar," katanya kepada pemberita di kolam renang Komite Olahraga Nasional Indonesia (KONI) di sini hari ini. 

Di temasya dwitahunan itu, Jinq En meraih emas menerusi acara 50 meter (m) kuak dada wanita pada Rabu dan sekadar meraih perak dalam acara 200m kuak dada wanita semalam.

Meskipun gagal memenangi emas, Jinq En masih berjaya melakukan catatan masa terbaik musim ini bagi acara 200m kuak dada dengan 2:33.89 saat. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan