POLIS TAHAN TIGA LELAKI DISYAKI TERBABIT JUDI BOLA SEPAK EURO 2024

26/06/2024 10:48 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang warga asing yang disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian bola sepak sempena Kejohanan Bola Sepak Eropah 2024 (Euro 2024) menerusi Op Soga bermula Isnin lepas hingga awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras Ravindar Singh Sarban Singh berkata dua lelaki tempatan berusia 40 dan 44 tahun itu serta seorang warga asing berumur 34 ditahan di tiga lokasi sekitar Cheras.

Beliau berkata siasatan awal mendapati tiga lelaki terbabit bergerak secara berasingan dan merupakan ejen bookie peribadi dalam membuat pertaruhan bola sepak.

"Mereka bergerak secara 'sendirian' untuk elak daripada dikenal pasti sebagai bookie dengan mengambil sebarang amaun (daripada pelanggan)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ravindar Singh berkata pihaknya turut merampas tiga telefon bimbit milik tiga lelaki terbabit dan pemeriksaan mendapati terdapat aplikasi serta perbualan mengenai pertaruhan.

Beliau berkata dua lelaki warga tempatan berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis dan warga asing itu pula direman empat hari sehingga 28 Jun ini.

Kes disiasat mengikut di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan