POLIS BURU INDIVIDU HANTAR BOM PALSU DI MOTAC

27/06/2024 04:14 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Polis memburu seorang individu dipercayai suspek yang membuat penghantaran bungkusan bom palsu di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Putrajaya, pada 5 Jun.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata lakaran lelaki memakai pelitup muka itu, dirakam di pejabat sebuah syarikat penghantaran di Sungai Buloh, Selangor, pada hari sama bungkusan itu dikirim ke MOTAC.

Beliau berkata orang ramai yang ada melihat lelaki tersebut yang memakai baju berwarna merah dan jaket serta penutup kepala berwarna hitam, untuk tampil membantu polis.

“Hasil siasatan mendapati suspek melakukan proses penghantaran bungkusan berkenaan menggunakan identiti individu lain.

“Individu yang identitinya digunakan telah mengesahkan dirinya tidak hadir ke pejabat penghantaran di Sungai Buloh dan tidak mengetahui sebarang urusan penghantaran barang,” katanya pada Sidang Media Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, di sini hari ini.

Orang awam yang mempunyai maklumat kejadian, boleh memaklumkan segera  kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya atau Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999.

Dalam perkembangan berasingan Rusdi berkata pihaknya mengenal pasti empat lokasi yang dijadikan sarang pelacuran di sekitar ibu kota, yang menawarkan khidmat seks dengan harga murah kepada pelanggan.

“Menjadi hasrat Polis Kuala Lumpur untuk menghapuskan tempat dan aktivit pelacuran. Saya tidak mahu melihat kegiatan persundalan di tepi jalan, menarik orang ramai berhenti di tepi jalan semata-mata mahu melihat mereka.

“Pihak polis akan mengambil tindakan secara berterusan bukan sahaja di lokasi berkenaan malah di lokasi lain yang dikenal pasti,” katanya.

Rusdi berkata sebanyak 409 serbuan telah dijalankan bagi membanteras aktiviti pelacuran di enam daerah di sekitar ibu kota, bermula 1 Jan hingga 23 Jun.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,691 individu daripada pelbagai negara ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti persundalan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan