4,612 UNIT RUMAH KUARTERS PDRM SIAP DITAMBAH BAIK - KPN

28/06/2024 12:33 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Sejumlah 4,612 unit rumah kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) seluruh negara siap ditambah baik setakat ini sejak peruntukan disalur tahun lepas, menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata ia melibatkan peruntukan berjumlah RM112.6 juta diterima pasukan keselamatan itu dengan keseluruhan 465 projek dilaksanakan.

Selain itu, katanya sebanyak RM14.4 juta lagi disalurkan bagi kerja-kerja peluasan 286 unit kuarters lama PDRM dari 700 kaki persegi seunit kepada 1,200 kaki persegi seunit.

“Ia melibatkan pengubahsuaian dua unit menjadi satu unit kuarters sekali gus dapat memberi keselesaan kepada penghuni kuarters.

“Projek itu yang turut meliputi balai polis dan pos Pasukan Gerakan Am merupakan langkah permulaan di bawah kerangka Pembangunan Malaysia MADANI,” katanya dalam ucapan sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara, di sini hari ini.

Razarudin berkata bagi projek pembangunan fizikal baharu, sebanyak 12 projek telah diluluskan untuk PDRM di bawah Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia Ke-12 dengan implikasi kewangan berjumlah RM1.35 bilion, sekali gus merupakan projek paling banyak diluluskan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Beliau berkata projek itu melibatkan pembinaan ibu pejabat polis daerah (IPD), balai polis, kuarters perumahan dan lain-lain fasiliti iaitu IPD Kemaman dan Balai Polis Kijal, Terengganu; dan IPD dan Balai Polis Padang Besar serta perumahan, Perlis.

“Selain itu, IPD dan Balai Polis Nabawan serta perumahan, Sabah; Balai Polis Jelutong dan perumahan Pulau Pinang, Bengkel Pengangkutan IPK Kedah, dan Menara Tinjau Pos Batu Putih, Perlis,” katanya.

Razarudin turut menggesa setiap warga pasukan agar sentiasa mensyukuri nikmat kemudahan dan fasiliti yang disediakan dengan meningkatkan penerapan dan amalan budaya disiplin yang mementingkan kebersihan serta memelihara setiap kemudahan dan fasiliti yang disediakan untuk kesejahteraan bersama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan