PEGAWAI KHIDMAT MASYARAKAT RUGI RM177,700 DIPERDAYA SINDIKET 'PHONE SCAM'

28/06/2024 02:58 PM

IPOH, 28 Jun (Bernama) -- Seorang pegawai khidmat masyarakat di sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Taiping mengalami kerugian RM177,700 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian pada 12 Jun lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata lelaki berusia 72 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali mengaku wakil dari Kementerian Komunikasi pada 2.30 petang, memaklumkan akaun miliknya terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram dan memintanya hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Beliau berkata mangsa memaklumkan kepada suspek yang dia tidak dapat hadir ke IPD Ipoh selain menafikan tidak terlibat dengan aktiviti menyalahi undang-undang itu sebelum taliannya disambungkan kepada  'pihak polis'.

“Mangsa diberitahu bahawa suspek kedua dapat membantu kes ini dengan syarat mangsa harus memberikan nombor kad ATM dan nombor pin untuk tujuan semakan. Mangsa kemudiannya dimaklumkan untuk menyerahkan nombor OTP serta diberitahu bahawa wang dari akaunnya akan dipindahkan dan memberi jaminan wang akan dikembalikan setelah siasatan selesai.

“Oleh kerana dalam keadaan cemas dan ketakutan, mangsa menurut apa yang dikatakan oleh suspek kedua itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata mangsa telah pergi ke sebuah bank di Taiping semalam, untuk membuat semakan dan mendapati wang miliknya telah berkurangan selain berlakunya lima transaksi mencurigakan ke akaun bank berbeza-beza serta penama tidak dikenali membabitkan wang berjumlah RM177,700.

"Mangsa menyedari telah ditipu apabila suspek kedua tidak lagi dapat dihubungi dan dia kemudiannya membuat laporan polis semalam,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dan mengingatkan orang ramai untuk sentiasa peka dan cakna dengan trend sindiket penipuan yang semakin berleluasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan