90 PERATUS KENDERAAN DISITA DIUBAH SUAI TANGKI SELUDUP BAHAN API

30/06/2024 01:11 PM

KOTA BHARU, 30 Jun (Bernama) -- Sebanyak 90 peratus daripada 550 kenderaan yang disita dalam tempoh tiga tahun lepas, telah diubah suai tangki untuk digunakan dalam kegiatan penyeludupan bahan api seperti petrol dan diesel.

Pengarah Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail berkata kenderaan diubah suai adalah keluaran tempatan daripada model Sedan atau hatchback seperti Proton Wira dan Proton Waja, yang sudah uzur dan tidak mempunyai cukai jalan.

Beliau berkata kereta berkenaan diubah suai sehingga mampu mengisi hampir 200 liter bahan api untuk sekali pengisian.

“Sebenarnya taktik penyeludup ini ada pelbagai cara termasuk membuat pengisian menggunakan tong namun taktik itu mudah dihidu pihak berkuasa berbanding menggunakan tangki ubah suai.

“Bagi yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda taktik ini agak sukar dikesan kerana tangkinya sudah besar kecuali mereka didapati membuat pembelian berulang di stesen-stesen,” katanya.

Menurut Azman, pihaknya juga telah mengesan wujudnya bengkel-bengkel yang membuat ubah suai tangki berkenaan termasuk di Pengkalan Tumpat dan Rantau Panjang.

Katanya, perbincangan akan diadakan dengan agensi berkaitan terutama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mencari jalan terbaik berkaitan kenderaan ubah suai tangki itu.

Sementara itu, Azman berkata sebanyak 29,932 liter petrol RON95 dan 68,858 liter diesel telah disita sejak Januari hingga semalam.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan