MARITIM TAHAN KAPAL KARGO BAWA ROKOK, BERSAUH TIDAK AKTIFKAN AIS

01/07/2024 09:21 PM

PASIR PUTEH, 1 Julai -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan sebuah kapal kargo membawa muatan rokok di perairan Kelantan yang bersauh tanpa mengaktifkan Sistem Pengesanan Automatik (AIS) pada 10.45 pagi, Jumaat lalu.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata ketika ditemukan, kapal berkenaan bersauh dalam keadaan yang mencurigakan.

"Tangkapan dilakukan oleh sebuah aset Maritim Malaysia selepas pihaknya mendapat maklumat risikan mengenai pelanggaran undang-undang yang dipercayai dilakukan kapal terbabit. 

"Hasil pemeriksaan mendapati nakhoda bersama tujuh kru warganegara Indonesia berumur antara 23 hingga 48 tahun berada di dalam kapal berkenaan dan dipercayai membawa empat kontena mengandungi rokok pelbagai jenama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal tersebut gagal mengemukakan surat kebenaran bersauh oleh Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan dokumen manifes kapal yang diserahkan juga adalah meragukan.

Beliau berkata kapal dan kesemua kru kemudiannya ditahan dan dibawa ke Maritim Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut. 

Kes tersebut disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952, Seksyen 491B(1)(l) iaitu bersauh tanpa kebenaran daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan Seksyen 491E Ordinan yang sama kerana gagal mengaktifkan AIS tanpa sebab yang munasabah, tambah beliau.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan