POLIS BONGKAR TAKTIK SEMBUNYI DADAH DALAM GUNI BERISI TANAH, RAMPAS SYABU BERNILAI RM1.84 JUTA

02/07/2024 05:40 PM

SHAH ALAM, 2 Julai (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan cubaan menyeludup dadah jenis syabu bernilai RM1.84 juta melalui perkhidmatan kurier, selepas menahan sepasang suami isteri di Puchong Jaya, dekat sini pada 27 Jun.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata syabu seberat 57.6 kilogram (kg) itu, disembunyi di dalam tujuh guni plastik berisi tanah dengan pasangan berusia 41 dan 42 tahun itu, dipercayai bertindak selaku ‘penghantar’ bagi membawa barangan tersebut menggunakan lori yang dipandu suspek.

“Mereka menggunakan lori sebagai pengangkutan untuk penghantaran kurier tersebut, dengan membawa tujuh guni plastik berisi tanah bagi menyembunyikan 56 bungkusan Teh Cina bertulisan Guanyingwang disyaki berisi syabu seberat 57.6 kilogram.

“Menyembunyikan dadah di dalam guni berisi tanah dan menghantarnya menggunakan kurier, menjadi modus operandi atau taktik baharu bagi penjenayah menyeludup dadah yang berjaya kita bongkar menerusi penahanan kedua-dua suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini. 

Hussein berkata pasangan itu diarahkan mengambil barangan berisi dadah berkenaan di Serdang Jaya dan menghantarnya ke Puchong Jaya, dan siasatan awal mendapati penghantaran itu merupakan kali pertama dilakukan dan mereka, dipercayai dibayar RM51 berdasarkan upah menerusi aplikasi kurier tersebut.

Beliau berkata polis masih menyiasat sama ada pasangan terbabit mengetahui keberadaan dadah di dalam guni yang dibawa atau sebaliknya.

Dalam kes berasingan, polis merampas 26 ketulan mampat daun kering dipercayai ganja selepas menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun di kawasan pakir kenderaan di Hentian Rehat dan Rawat Sungai Buloh, dekat sini pada 4.30 pagi semalam.

Hussein berkata dadah seberat 26,250 gram dianggarkan bernilai RM81,375 itu ditemukan di dalam sebuah bagasi yang diletakkan di bonet belakang kereta dipandu suspek.

Beliau berkata ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati lelaki yang telah berkahwin dan dipercayai bertindak selaku ‘penghantar’ itu, positif dadah jenis THC

“Suspek bagi kedua-dua kes ini direman selama tujuh hari dan kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan