POLIS SIASAT KES LELAKI DAKWA DITUMBUK ORANG BESAR UNDANG LUAK REMBAU

09/07/2024 08:47 PM

SEREMBAN, 9 Julai (Bernama) -- Polis menyiasat kejadian seorang lelaki yang mendakwa ditumbuk oleh Orang Besar Undang Luak Rembau ketika menghadiri sebuah majlis berkaitan Adat, dekat sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata mangsa berusia 64 tahun itu membuat laporan berhubung insiden itu pada jam 6.12 petang, hari yang sama.

“Mangsa dirujuk ke Hospital Rembau untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Perintah Menjalankan Siasatan telah dipohon bagi menjalankan siasatan.

“Seramai 17 saksi dirakam percakapan bagi membantu siasatan polis. Motif kejadian dipercayai akibat salah faham,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan atau sebarang spekulasi kerana siasatan lanjut masih diteruskan.

Difahamkan, majis berkenaan diadakan sebagai sebahagian proses mencari individu yang layak menjadi Undang Luak Rembau yang baharu susulan kematian penyandangnya Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman pada 15 Mei lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan