POLIS TAHAN LELAKI JADI "KELDAI AKAUN" SINDIKET PENIPUAN

11/07/2024 11:10 AM

BALIK PULAU, 11 Julai (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki menjadi "keldai akaun" kepada satu sindiket penipuan berkaitan pelaburan tidak wujud secara dalam talian, melibatkan kerugian hingga RM32,300 kepada mangsa baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Barat Daya di sini semalam.

“Siasatan mendapati mangsa telah membuat transaksi secara dalam talian ke akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM32,300, namun dia membuat laporan polis selepas menyedari menjadi ditipu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menipu.

Sementara itu Kamarul Rizal berkata Selasa lepas polis menahan empat lelaki berusia 25 hingga 33 tahun kerana disyaki terlibat dalam kes samun tanpa senjata api di Bayan Baru, di sini minggu lepas.

Beliau berkata empat lelaki itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di sekitar sini hasil risikan serta maklumat awam, dan keempat-empat suspek kini direman bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan