DUA WANITA MAUT SEJAK EMPAT HARI LEPAS KERANA PENYEDUTAN GAS HELIUM

11/07/2024 07:02 PM

BUKIT MERTAJAM, 11 Julai (Bernama) -- Polis mengesahkan punca kematian dua wanita yang dijumpai meninggal dunia dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda WRV di Taman Sungai Rambai di sini semalam, akibat lemas terhidu gas helium.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris berkata berdasarkan laporan bedah siasat dijalankan ke atas mayat dua wanita berkenaan mendapati mereka telah meninggal dunia sejak empat hari lepas.

“Laporan bedah siasat mendapati kedua-dua wanita tempatan berusia 25 dan 30 tahun itu lemas terhidu gas helium dan kes kematian mereka diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Berdasarkan pemeriksaan di lokasi penemuan mayat mereka dalam kereta tersebut, polis tidak menemukan sebarang senjata atau peralatan yang boleh dikaitkan dengan kematian dua wanita itu dengan unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu media melaporkan, mayat dua wanita yang sudah berbau busuk ditemukan dalam sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan berhampiran sebuah taman perumahan di Taman Sri Rambai di sini, petang semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat berkenaan daripada penduduk sekitar kawasan itu kira-kira 5.30 petang.

Sementara itu, Helmi berkata berdasarkan siasatan mendapati keluarga kepada kedua-dua wanita yang juga kawan karib itu ada membuat laporan berhubung kehilangan mereka pada 5 Julai lepas.

Difahamkan, mereka dari Negeri Sembilan dan datang ke Pulau Pinang untuk bercuti.

Jenazah kedua-dua wanita berkenaan telah dituntut oleh ahli keluarga mereka selepas selesai proses bedah siasat di HSJ kira-kira 2 petang hari ini.

Media sebelum ini turut melaporkan pihak polis menemui nombor telefon dipercayai milik ahli keluarga seorang daripada wanita itu yang diletakkan di bahagian papan pemuka kereta tersebut dipercayai bagi memudahkan pencarian mereka.

Barang-barang mereka termasuk dokumen pengenalan diri dan barangan berharga turut ditemukan dalam kereta Honda WRV milik wanita berusia 30 tahun itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan