KPDN, POLIS MARIN RAMPAS LEBIH 300 LITER PETROL DISOROK DALAM REBAN AYAM

11/07/2024 10:34 PM

KOTA BHARU, 11 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor merampas 375 liter petrol dalam serbuan di Kampung Geting, semalam.

 Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata kesemua bahan api berkenaan disembunyikan di dalam reban ayam di satu kawasan perkuburan di kampung berkenaan dalam serbuan kira-kira 9 pagi.

Beliau berkata risikan yang dijalankan pasukannya mengesan berlaku kegiatan pemindahan petrol dari sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback ke beberapa tong plastik di lokasi persembunyian.

“Bagaimanapun, ketika serbuan dilakukan pemilik kereta berjaya melarikan diri kerana dapat menghidu lebih awal kedatangan pihak KPDN bersama polis marin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar menemukan beberapa tong berisi petrol disembunyikan di dalam reban ayam selain sejumlah petrol di dalam tangki ubah suai pada kereta berkenaan.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati lokasi itu dipercayai dijadikan transit sementara sebelum tong-tong berisi petrol itu diseludup keluar ke Thailand.

Katanya, petrol yang berjaya dirampas adalah sebanyak 375 liter dan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM5,600 termasuk kenderaan.

“KPDN percaya lokasi ini disyaki sebagai tempat pemunggahan serta pemindahan barang kawalan iaitu petrol dan diesel untuk tujuan penyelewengan ke negara jiran melalui pangkalan haram atau tebing sungai di sempadan Malaysia-Thailand.

“KPDN menyeru orang ramai untuk memberikan kerjasama dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berkaitan dengan penyeludupan bahan api dalam radius 50 kilometer dari sempadan negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan