PENSYARAH MENGAKU TIDAK BERSALAH KEMUKA TUNTUTAN PALSU LEBIH RM22,000

12/07/2024 02:53 PM

KUANTAN, 12 Julai (Bernama) -- Seorang pensyarah kanan sebuah institut pengajian tinggi awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM22,866.20, empat tahun lepas.

Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Industri Abd Aziz Mohd Azoddein, 57, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, dia didakwa mengemukakan penyataan palsu pembelian bekalan untuk penyelidikan dan bayaran penginapan bagi sebuah program atas nama Gomogi Consulting serta membuat perakuan penerimaan bahan untuk kegunaan program atas nama Greentel Solution Enterprise.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 15 Dis 2020 dan 15 Dis 2021 di Jabatan Bendahari universiti berkenaan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Asyraf Mohammed Tahir menawarkan ikat jamin RM50,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Peguam Muhammad Amirull Afiqq Muhammad Lokman merayu jaminan minimum dikenakan terhadap anak guamnya memandangkan tertuduh menanggung dua anak masih belajar, seorang abang kandung yang lumpuh serta anak saudara yang merupakan ibu tunggal.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan 27 Ogos untuk sebutan semula kes. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan