PELAJAR MAUT DALAM KEMALANGAN SELEPAS BALIK KELAS MENGAJI

12/07/2024 03:59 PM

KUANTAN, 12 Julai (Bernama) -- Seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun yang dalam perjalanan  pulang dari kelas mengaji maut selepas motosikal dinaiki bertembung sebuah lori di Kilometer 20, Jalan Lipis-Merapoh dekat Kampung Gua, Kuala Lipis, semalam. 

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Supt Ismail Man berkata ketika kejadian kira-kira 5.50 petang itu, mangsa Nor Arisya Husniyah Azli Hisham menaiki motosikal ditunggang rakannya Nur Alana Damia Kamarul Azmi yang juga berusia 14 tahun.

Beliau berkata kedua-dua mereka baru selesai kelas mengaji di Kampung Gua dan menghala ke arah Kampung Padang Tengku.

“Apabila tiba di satu simpang tiga, motosikal itu bertembung dengan lori dipandu warga tempatan berusia 58 tahun yang bergerak di laluan terus dari arah Merapoh menghala ke Lipis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ismail, Nor Arisya Husniyah meninggal dunia di tempat kejadian manakala Nur Alana Damia  mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan.

Kes katanya disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan