MUAT NAIK VIDEO BERKAIT ESHA, IBU BUAT LAPORAN POLIS TERHADAP TIGA INDIVIDU

12/07/2024 11:57 PM

GOMBAK, 12 Julai (Bernama) -- Polis menerima laporan daripada ibu kepada pempengaruh media sosial A. Rajeswary, 30, atau lebih dikenali Esha berhubung dakwaan wujudnya ugutan melalui aplikasi TikTok terhadap anaknya membabitkan tiga individu termasuk bekas pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata laporan berkenaan dibuat oleh P. R. Puspa, 56, iaitu ibu Esha di Balai Polis Selayang pada 6.34 petang tadi. 

“Laporan terbabit telah dipindahkan ke Balai Polis Setapak kerana kejadian berlaku di PPR (Program Perumahan Rakyat) Gombak Setia dan PPR Gombak Setia di bawah pentadbiran Balai Polis Setapak, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Pada 6 petang tadi, Puspa yang ditemani menantu lelakinya hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak bagi membuat laporan berhubung dakwaan terbabit selain diminta memberi keterangan kepada pegawai penyiasat dan urusan tersebut selesai kira-kira 8 malam tadi.

Puspa ketika ditemui pemberita di hadapan IPD Gombak memaklumkan sepanjang minggu ini beliau dimaklumkan oleh anaknya yang lain bahawa terdapat video serta siaran langsung dimuat naik oleh tiga individu berkenaan yang bercakap mengenai Esha. 

"Seorang daripada mereka wanita yang juga bekas pegawai polis yang mempertikaikan Esha pernah ditahan polis sebelum ini," katanya.

Bernama sebelum ini melaporkan Esha ditemukan meninggal dunia di sebuah unit kediaman kondominium di Setapak pada Jumaat lepas, sehari selepas membuat satu laporan polis di Balai Polis Dang Wangi di sini berhubung buli siber yang dihadapinya.

Laporan itu kemudian dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk siasatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan