MCMC PERKUKUH KERJASAMA DENGAN PDRM, ATASI MASALAH BULI SIBER

13/07/2024 06:00 PM

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyambut baik pengumuman kerajaan untuk meneliti pindaan undang-undang sedia ada termasuk Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta mempertimbangkan keperluan menggubal atau mewujudkan akta baharu dalam menangani isu buli siber.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengumuman berkenaan menghantar isyarat penting bahawa kerajaan komited dan serius dalam menangani masalah buli siber yang berlaku sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa.

“Langkah itu juga akan membolehkan pihak berkuasa melaksanakan penguatkuasaan dengan lebih efektif selain membawa mereka yang terlibat ke mahkamah, sekali gus memberi pembelaan sewajarnya kepada mereka yang terkesan,” menurut kenyataan itu.

MCMC turut memaklumkan pihaknya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneliti prosedur operasi standard (SOP) untuk memudahkan proses membuat aduan buli siber.

“Sinergi bersama PDRM juga akan dikukuhkan bagi memastikan inisiatif ini berkesan dan memberi impak kepada rakyat.

“MCMC dan Kementerian Komunikasi juga merancang untuk menganjurkan siri jelajah ke seluruh negara untuk menyebarkan mesej dan modul cegah buli siber di segenap lapisan rakyat,” menurut kenyataan itu.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil semalam berkata dalam usaha menangani masalah buli siber di platform media sosial, Kementerian Komunikasi akan meneliti pindaan undang-undang sedia ada di bawah Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selain undang-undang lain yang berkaitan.

Beliau berkata pihaknya juga akan meneliti jika terdapat keperluan bagi mewujudkan atau menggubal akta baharu khusus untuk buli siber.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan