RAGUT BEG BERISI WANG TUNAI RM6: PENGAWAL KESELAMATAN DIPENJARA EMPAT TAHUN DAN DISEBAT

17/07/2024 05:57 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Gara-Gara meragut beg silang mengandungi wang tunai RM6 milik seorang wanita minggu lepas, seorang pengawal keselamatan dihukum penjara empat tahun dan dikenakan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhi hukuman itu selepas S. Emaiyarrasan, 33, mengaku melakukan perbuatan tersebut ke atas Heng Le Xien, 25, di tepi Jalan Kangsar, Taman Rainbow di sini pada 10.30 pagi 12 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan. 

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 12 Julai lepas.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian mangsa yang sedang menunggu bas telah didekati oleh tertuduh yang menunggang motosikal sebelum meragut beg silang wanita itu.

Tertuduh kemudian berjaya ditangkap oleh orang awam sebelum dia diserahkan kepada pihak polis.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Izralizam berkata mahkamah memandang serius kesalahan jenayah rompak atau ragut yang semakin berleluasa di ibu kota.

"Oleh itu, hukuman berat harus dikenakan kepada kamu sebagai isyarat untuk memberi pengajaran dan ketakutan kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama," katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh namun Emaiyarrasan, yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman ringan atas alasan dia terpaksa menanggung keluarga dan isterinya sedang mengandung.

“Saya minta maaf atas kesalahan yang saya buat. Saya buat demikian kerana tidak menerima gaji selama lima hingga enam hari dan tak ada apa untuk bagi makan isteri,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan