CEROBOH BILIK BEDAH HOSPITAL AMPANG, BEKAS PERUNDING KESIHATAN DIDENDA RM3,500

17/07/2024 04:47 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Seorang bekas perunding kesihatan didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini selepas mengaku bersalah menceroboh bilik bedah Hospital Ampang untuk mengambil ubat bagi kegunaan diri sendiri minggu lepas.

Majistret Normaizan Rahim menjatuhkan hukuman tersebut terhadap lelaki berusia 33 tahun itu dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa memasuki bilik bedah hospital berkenaan tanpa kebenaran pada jam 3.05 pagi, 9 Julai lepas. Dia dituduh mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Ketika rayuan bagi meringankan hukuman, peguam Ungku Ikram Athari yang mewakili tertuduh berkata anak guamnya sedang menerima rawatan berkala kerana mengalami kemurungan, gangguan personaliti ganda dan skizofrenia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 2019.

“Berdasarkan latar belakang anak guam, saya mohon mahkamah memberikan bon berkelakukan baik atau denda minimum kerana dia telah berjanji dengan ibu dan kakaknya yang hadir di mahkamah hari ini untuk tidak mengulangi kesalahannya,” kata peguam itu.

Menurut Ungku Ikram, ketika tertuduh berada di bilik bedah dia memang mahu mengambil ubat untuk merawat penyakitnya namun tertuduh didapati tidak berbuat demikian.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Peh Fong Xi membantah permohonan bon berkelakuan baik kerana tertuduh telah membuat tindakan terancang dengan memakai pakaian bilik bedah untuk masuk ke bilik itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan