PENDENGARAN RAYUAN AKHIR PETER ANTHONY DITANGGUH 1 OGOS

18/07/2024 02:41 PM

PUTRAJAYA, 18 Julai (Bernama) -- Pendengaran rayuan akhir bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony terhadap sabitan dan hukuman penjara serta denda kerana memalsukan dokumen berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dijadualkan hari ini ditangguhkan ke 1 Ogos ini.

Ini selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin untuk menangguhkan pendengaran rayuan bagi pihak pendakwa raya meneliti isu-isu berbangkit oleh perayu (Peter).

"Mahkamah membenarkan penangguhan pendengaran rayuan dan pihak responden (pendakwa raya) boleh memfailkan hujahan tambahan sekiranya ada," kata Hakim Ahmad Zaidi.

Terdahulu, Wan Shaharuddin berkata pihaknya bersedia untuk meneruskan prosiding hari ini sekiranya mahkamah tidak membenarkan penangguhan pendengaran rayuan.

Peguam Datuk Nicholas Kow Eng Chuan yang mewakili Peter tidak membantah penangguhan pendengaran rayuan, namun memohon supaya suatu tarikh awal dapat ditetapkan oleh mahkamah untuk perayu membersihkan namanya sebelum menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang. 

Ditemui pemberita selepas prosiding, Wan Shaharuddin berkata pada April lepas Peter telah memfailkan representasi kali pertama namun ditolak Jabatan Peguam Negara (AGC) pada penghujung Mei.

Menurutnya, ahli politik itu memohon AGC menerima representasinya supaya permohonan untuk mengetepikan sabitan, hukuman penjara dan denda, dibenarkan.

Pada 19 April 2023, Peter, 53, memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 atau penjara 15 bulan, yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022.

Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap itu sebelum ini gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi pada 18 April tahun lepas dan ini merupakan rayuan terakhir beliau.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache yang menolak rayuan Peter, bersetuju dengan dapatan hakim bicara bahawa Peter memalsukan dokumen bagi mendapatkan projek di UMS sedangkan beliau mengetahui projek itu dibuat menerusi tender terbuka.

Peter, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014, mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) itu telah membayar denda RM50,000.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan