WANITA MAUT KEMALANGAN BABIT TIGA KENDERAAN DI SETIU

18/07/2024 09:33 PM

BANDAR PERMAISURI, 18 Julai (Bernama) -- Seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di kilometer (KM) 35.5 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu pada kira-kira 12.50 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Supt Mohd Zaub Mat Dris berkata kemalangan itu yang melibatkan bas persiaran, lori dan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu mangsa, Nik Nabilah Nik Abdul Ghaffar, 36, berlaku berhampiran pintu gerbang sempadan daerah Setiu.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku apabila MPV jenis Toyota Avanza yang dipandu mangsa dari arah Besut ke Kuala Terengganu hilang kawalan lalu bergesel dengan bahagian sisi belakang sebelah kanan lori yang datang dari arah bertentangan.

"Pada masa sama kenderaan dipandu mangsa turut bertembung dengan bahagian hadapan bas pesiaran yang juga datang dari arah bertentangan.

"Kemalangan itu turut menyebabkan anak mangsa, Wan Muhammad Aqil Wan Zulkhairi, 16, yang berada di tempat duduk belakang luka tangan kanan, manakala pemandu dan kelindan lori serta pemandu bas tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Zaub berkata Wan Muhammad Aqil telah dihantar ke Hospital Setiu untuk rawatan, manakala mayat ibunya dihantar ke hospital sama untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan