BERITA TERGEMPAR   PRK Nenggiri: Jentera PH akan digerakkan bantu kempen calon BN- Fahmi | 

AGC TOLAK REPRESENTASI LIM GUAN ENG UNTUK GUGUR EMPAT PERTUDUHAN RASUAH

19/07/2024 11:57 AM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Representasi dikemukakan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk menggugurkan empat pertuduhan rasuah membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai lebih RM6 bilion, ditolak Jabatan Peguam Negara (AGC).

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan perkara itu kepada Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi semasa prosiding sebutan bagi mengetahui status representasi yang dikemukakan Lim, 63, pada 28 Jun lepas.

"Pihak AGC telah mengkaji representasi itu dan membuat keputusan untuk menolaknya pada awal bulan ini," kata Wan Shaharuddin yang turut memaklumkan kehadiran Lim dikecualikan pada prosiding hari ini.

Azura kemudian menetapkan 8 Ogos ini untuk sambung bicara kes dihadapi Lim.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk menerima suapan berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan