BERITA TERGEMPAR   PRK Nenggiri: Jentera PH akan digerakkan bantu kempen calon BN- Fahmi | 

PENGAJAR INSTITUSI LATIHAN PDRM WAJIB LULUS MINIMUM IJAZAH SARJANA MUDA

19/07/2024 02:47 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Kesemua calon tenaga pengajar yang bakal berkhidmat di  institusi latihan Polis Diraja Malaysia (PDRM) wajib memiliki kelulusan akademik sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda.

Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain berkata ketetapan itu dibuat hasil kajian pengukuhan perjawatan bagi pensyarah dan tenaga pengajar institusi itu dengan menitikberatkan kelayakan akademik.

“Sebagai perintis, pengukuhan perjawatan tenaga pengajar sedang dilaksanakan di empat institusi latihan PDRM iaitu Maktab PDRM Kuala Lumpur, Maktab PDRM Kuala Kubu Bharu, PULAPOL Kuala Lumpur dan PULAPOL Bukit Sentosa.

“PDRM juga dalam usaha menaik taraf Maktab PDRM Kuala Lumpur menjadi hub penyelidikan meliputi semua aspek dalam bidang kepolisan khususnya berkaitan keselamatan siber serta pencegahan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KPN bulan Julai 2024 anjuran Jabatan Pengurusan Bukit Aman di Bukit Aman di sini hari ini.

Razarudin berkata ini seiring perkembangan teknologi dan kewujudan jenayah bentuk baharu dengan modus operandi yang kian mencabar.

“Saya yakin, kolaborasi dengan para ilmuan dari dalam dan luar negara mampu menyumbang kepada dapatan akademik yang memberi manfaat kepada pasukan serta masyarakat,” katanya.

Sementara itu, kajian semula ke atas Modul Silibus Program Latihan Asas Kepolisan turut dilaksanakan sebagai penambahbaikan untuk melahirkan sumber manusia kompeten melalui program latihan kepolisan yang mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Beliau turut menyuarakan hasrat PDRM untuk mencapai sasaran pengambilan Gred Lantikan Skim Perkhidmatan PDRM iaitu seramai 4,441 orang sebelum akhir tahun ini.

“Sejak Januari hingga 1 Julai lepas, seramai 3,482 pelatih lelaki dan wanita sedang menjalani Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) bagi Inspektor Polis Gred YA13, Sarjan Polis Gred YA5 dan Konstabel Polis Gred YA1 di tujuh buah Pusat Latihan Polis di seluruh negara.

“Perkembangan itu mencatatkan status pencapaian pelantikan Gred Lantikan Skim Perkhidmatan PDRM pada tahap 78.4 peratus daripada jumlah yang disasarkan tahun ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan