WANITA DIDAKWA CEDERAKAN ANAK DIPERINTAH JALANI PEMERIKSAAN MENTAL

22/07/2024 03:12 PM

CHUKAI, 22 Julai (Bernama) -- Mahkamah Sesyen Kemaman di sini hari ini mengarahkan seorang wanita yang dituduh mencederakan anaknya pada 13 Julai lepas untuk menjalani pemeriksaan mental. 

Keputusan itu dibuat Hakim Wan Suhaila Mohd ke atas Norulhuda Sofia Muda, 26, yang sebelum itu mengaku bersalah sebanyak dua kali namun ditolak mahkamah setelah membuat penilaian awal terhadap keadaan suspek sepanjang prosiding berlangsung.

Terdahulu, keadaan tertuduh yang beremosi dan seolah-olah tidak memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan hakim menyebabkan prosiding ditangguh sebanyak dua kali. 

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan penganiayaan dengan menyebabkan anak perempuannya yang berusia enam tahun cedera fizikal dengan cara menarik rambut dan kepala serta mengangkat badannya lalu menghayun kanak-kanak itu keluar melalui tingkap sehingga terjatuh ke atas tanah di rumahnya di Kampung Air Jabor Kubur, di sini pada pukul 2 petang, 13 Julai lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

Justeru, Timbalan Pendakwa Raya Syairah Mohamad Razali memohon kepada mahkamah agar tertuduh menjalani pemeriksaan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah kerana wanita itu disyaki tidak sempurna akal. 

Peguam Akmal Wahidah Abd Halim dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh kemudian menyerahkan kepada budi bicara mahkamah untuk tertuduh menjalani pemeriksaan tersebut.

Hakim kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi memastikan keadaan tertuduh semasa kejadian tersebut berlaku dan membolehkan Norulhuda Sofia memahami pertuduhan bagi sebutan semula kes yang ditetapkan pada 20 Ogos ini. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan